SOALAN LAZIM SERAHAN




Soalan Lazim > Serahan

SOALAN LAZIM SERAHAN


  1. Berapa lama proses serahan wang tak dituntut?

    Tarikh penyerahan wang tak dituntut adalah selewat-lewatnya pada setiap 31 Mac tahun berikutnya.


  2. Bagaimana mana mahu tahu proses serahan wang itu sudah diluluskan?

    Bahagian Pengurusan Wang Tak Dituntut (BWTD) yang bertempat di Menara Maybank, Kuala Lumpur akan mengeluarkan resit kepada entiti yang menyerahkan Wang Tak Dituntut sebagai bukti serahan telah diproses melalui pos.


  3. Apakah yang dimaksudkan dengan Kod Entiti dan bagaimanakah caranya untuk memohon Kod Entiti?

    Kod Entiti bermaksud nombor unik yang dijana oleh sistem yang digunapakai oleh Pendaftar WTD untuk setiap Syarikat/ firma yang didaftarkan bagi tujuan serahan WTD. Syarikat/firma perlu mengisi Borang Pendaftaran Syarikat/firma iaitu Borang UMA-1 (Pin.1/2018) bagi mendapatkan Kod Entiti.


  4. Adakah syarikat/firma perlu memohon Kod Entiti yang baru setiap kali membuat serahan?

    Tidak, Syarikat/firma perlu menggunakan Kod Entiti yang sama setiap kali membuat serahan.


  5. Adakah syarikat/firma perlu melengkapkan Borang UMA-1 (Pin.1/2018) setiap kali membuat serahan?

    Tidak, syarikat/firma hanya perlu melengkapkan dan menghantar Borang UMA-1 (Pin.1/2018)jika terdapat sebarang perubahan maklumat Syarikat/ firma. Syarikat/ firma perlu menghantar satu (1) salinan Seksyen 28 / Borang 13 (SSM) jika terdapat pertukaran nama Syarikat/ firma. Borang UMA-1 (Pin.1/2018) hendaklah dilengkapkan secara cetakan komputer dan ditandatangan. Tulisan tangan adalah tidak dibenarkan.


  6. Siapakah yang layak menandatangani Borang UMA-1 (Pin.1/2018)?

    Borang UMA-1 (Pin.1/2018) hendaklah ditandatangani oleh Pengarah (Director) atau Pengurus Besar (General Manager) atau mana-mana pegawai tertinggi di dalam Syarikat/ firma.


  7. Adakah Syarikat/ firma perlu mengemukakan Borang UMA-3?

    Tidak, Borang UMA-3 tidak digunapakai berkuatkuasa mulai 01.01.2018.


  8. Apakah yang dimaksudkan dengan Daftar WTD?

    Daftar WTD merupakan fail dalam format MsExcel yang perlu disediakan mengikut panduan yang ditetapkan oleh Pendaftar.


  9. Apakah yang perlu dilakukan oleh Syarikat/ firma sekiranya Syarikat/ firma tidak dapat mengenalpasti maklumat empunya yang sah semasa melengkapkan Daftar WTD?

    Syarikat/ firma hendaklah mengisi apa-apa maklumat yang unik yang dapat membantu Syarikat/ firma mengeluarkan surat pengesahan apabila terdapat empunya yang sah ingin membuat permohonan bayaran balik WTD.


  10. Apakah yang perlu dilakukan oleh Syarikat/ firma jika terdapat kesilapan dalam Daftar WTD selepas diserahkan kepada Pendaftar WTD?

    Syarikat/ firma hendaklah memastikan maklumat yang dihantar kepada Pendaftar WTD adalah tepat dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap serahan WTD yang dibuat.


  11. Adakah Syarikat/ firma boleh menggunakan encryption software yang berbeza untuk membuat encryption pada Daftar WTD (Ms.Excel)?

    Ya, Syarikat/ firma dibenarkan untuk menggunakan mana-mana encryption software. Namun begitu, Syarikat/ firma wajib menggunakan encryption key yang ditetapkan oleh Pendaftar WTD.


  12. Bagaimanakah caranya untuk mendapatkan encryption key?

    Encryption key hendaklah diperolehi daripada Pendaftar WTD dengan mengemukakan permohonan melalui e-mel.


  13. Apakah kaedah pembayaran serahan WTD?

    Bayaran serahan WTD boleh dibuat secara pindahan wang elektronik (EFT) ke akaun bank Pendaftar WTD. Caj bank yang akan dikenakan (jika ada) hendaklah ditanggung oleh Syarikat/ firma.


  14. Bagaimanakah caranya untuk mendapatkan maklumat akaun bank Pendaftar WTD?

    Maklumat akaun bank Pendaftar WTD boleh diperolehi dengan mengemukakan permohonan melalui e-mel.


  15. Apakah yang perlu diisi oleh Syarikat/ firma di dalam ruangan 'Rujukan Penerima' (recipient's reference) ketika membuat pembayaran serahan WTD?

    Syarikat/ firma hendaklah mengisi maklumat di ruangan 'Rujukan Penerima' (recipient's reference) dengan mengikuti format yang telah ditetapkan oleh Pendaftar WTD iaitu:

    < Kod Entiti >< Tarikh Bayaran >< No. Turutan >
    Contoh: 000XXXXX0101201901 (bagi pembayaran kali pertama dalam tahun 2019)
    Contoh: 000XXXXX3112201902 (bagi pembayaran kali kedua dalam tahun 2019)


  16. Adakah serahan WTD dianggap selesai setelah Syarikat/ firma membuat pembayaran ke dalam akaun bank Pendaftar WTD?

    Tidak, prosedur serahan WTD akan dianggap selesai hanya apabila Syarikat/ firma telah mengemukakan dokumen serahan WTD yang lengkap.


  17. Apakah tindakan undang-undang yang boleh diambil sekiranya syarikat/ firma gagal mematuhi seksyen 10 Akta WTD 1965 iaitu serahan WTD kepada Pendaftar WTD?

    Kegagalan mematuhi seksyen 10 Akta WTD 1965, syarikat/ firma boleh dikenakan kompaun/denda mengikut seksyen 16 Akta WTD 1965, sebanyak tidak melebihi RM20,000.00 dengan nilai denda tambahan tidak melebihi RM1,000.00 bagi setiap hari selama kemungkiran itu berterusan.


  18. Apakah yang perlu dilakukan sekiranya Syarikat/ firma kehilangan salinan simpanan Daftar WTD yang telah dihantar ke Pendaftar WTD?

    Syarikat/ firma hendaklah menyimpan satu (1) salinan Daftar WTD sebagai rujukan selama mana semua maklumat dalam Daftar WTD tersebut masih belum dituntut pembayaran semula oleh empunya yang sah. Jika berlaku kehilangan Daftar WTD, Syarikat/ firma boleh membeli Daftar WTD yang telah diwartakan di Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB) atau membuat semakan di Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) atau Jabatan Arkib Negara.


  19. Dimanakah semua dokumen-dokumen yang diperlukan dalam proses serahan WTD perlu dihantar oleh Syarikat/ firma?

    Daftar WTD (CD) dan salinan asal hardcopy dokumen-dokumen yang diperlukan hendaklah dihantar oleh Syarikat/ firma ke alamat pejabat Pendaftar WTD seperti berikut:

    Pendaftar Wang Tak Dituntut
    Jabatan Akauntan Negara Malaysia,
    Bahagian Pengurusan Wang Tak Dituntut,
    Tingkat 42, Menara Maybank,
    100,Jalan Tun Perak,
    50050 Kuala Lumpur.